Senarai barangan Sumbangan Asas Rahmah akan dikemas kini sebelum Ramadan, dengan pertimbangan untuk memasukkan barangan basah seperti ikan dan ayam.
SUNGAI PETANI: Senarai baharu barangan keperluan yang boleh dibeli menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan dikemas kini selewat-lewatnya sebelum Ramadan tahun ini.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata terdapat permintaan supaya barangan keperluan lain turut ditambah.
“Kementerian sedang meneliti untuk memasukkan barangan lain kerana ada permintaan untuk memasukkan barangan basah seperti ikan, ayam dan sebagainya,” katanya.
Beliau menjangkakan pelaksanaan baharu itu dapat memberi kelegaan kepada masyarakat menjelang Aidilfitri dan perayaan lain.
Muhammad Kamil berkata demikian selepas menyertai aktiviti gotong-royong di Surau Kampung Perak, Bukit Selambau hari ini.
Beliau menambah kerajaan akan melihat mekanisme terbaik untuk memperluas skop SARA bagi membantu meringankan beban rakyat.
“Kita sedang lihat mekanisme yang terbaik bagaimana dapat memperluas skop SARA, tidak hanya terhad kepada senarai sedia ada,” ujarnya.
Selain itu, lebih banyak kedai kecil khususnya di kawasan luar bandar akan diberi ruang untuk membolehkan penerima SARA membeli barangan di situ.
Mengenai peruntukan, beliau menyatakan jumlah keseluruhan berjumlah RM15 billion.
“Bulan ini kita buat semakan semula dan keluarkan senarai baharu bagi penerima SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” katanya.
Beliau menjelaskan bilangan penerima bantuan berubah setiap tahun, menyebabkan pemberian SARA agak terlewat sedikit tahun ini.
“Ini supaya yang layak menerimanya,” jelas Muhammad Kamil.








