Speaker Dewan Rakyat beri amaran tindakan tegas kepada ahli Parlimen yang sentuh isu 3R, patuhi teguran titah Yang di-Pertuan Agong
KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen perlu memberi perhatian serius terhadap teguran Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung larangan memainkan sentimen kaum, agama dan institusi diraja (3R).
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menegaskan beliau tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana Ahli Parlimen yang melampaui garis merah yang ditetapkan.
Beliau mengingatkan semua Ahli Parlimen supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan isu 3R atau berpolitik dalam perbahasan, walaupun dilindungi keistimewaan Parlimen.
“Saya dan timbalan-timbalan Speaker akan memastikan isu 3R tidak digunakan sesuka hati kerana ia boleh mengundang salah faham serta mewujudkan suasana tidak harmoni,” katanya kepada Bernama dan RTM di lobi Bangunan Parlimen.
Johari berkata jika beliau bertindak, jangan disalahkan kerana tuanku sendiri telah menegaskan bahawa isu 3R tidak boleh digunakan untuk tujuan peribadi atau dipolitikkan dalam Dewan Rakyat.
Seri Paduka Baginda dalam Titah Diraja hari ini menzahirkan amaran keras terhadap isu rasuah selain menitahkan supaya tindakan memerangi jenayah itu dibuat besar-besaran.
Baginda juga menitahkan agar perbuatan yang menyentuh isu 3R ditangani dengan berkesan.
Dalam pada itu, Johari mahu Ahli Parlimen menumpukan perbahasan kepada perkara-perkara utama termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Berikan pandangan dan cadangan yang membina untuk membangunkan negara. Tinggalkan perbahasan isu-isu periferal dan tunjukkan kematangan dengan menggunakan minda yang jelas, bukan emosi,” katanya.
Beliau berkata langkah reformasi institusi akan diteruskan bagi memastikan perjalanan persidangan lebih teratur dan berfokus.
Ini termasuk menambah bilangan soalan bagi memberi ruang lebih luas kepada Ahli Parlimen membangkitkan isu rakyat.
Johari turut memaklumkan mulai tahun ini, sidang Kamar Khas Dewan Rakyat akan berpindah ke dewan persidangan yang lebih besar.
Langkah ini membolehkan lebih ramai tetamu termasuk pelajar mengikuti prosiding itu.
Beliau berkata Kamar Khas memberi tumpuan khusus kepada wakil rakyat dan kerajaan untuk membincangkan isu-isu tempatan.
Dewan persidangan yang lebih luas membolehkan Ahli Parlimen membawa penduduk kawasan masing-masing bagi mendengar sendiri perbahasan berkaitan isu setempat.
“Saya percaya langkah ini bukan sahaja meningkatkan ketelusan malah memperkukuh hubungan antara wakil rakyat dan rakyat di kawasan mereka,” katanya.








