Skuad Pemburu Ikan Asing Malaysia berjaya menangkap kira-kira 75 tan ikan bandaraya di seluruh Semenanjung sejak hujung 2023.
KANGAR: Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA) Malaysia merekodkan tangkapan ikan bandaraya sebanyak kira-kira 75 tan di seluruh Semenanjung Malaysia dari penghujung 2023 hingga Disember lepas.
Pengasas SPIA Malaysia Mohamad Haziq A. Rahman berkata tangkapan itu dibuat menerusi usaha bersepadu dengan pelbagai agensi kerajaan, institusi kemahiran dan pertubuhan bukan kerajaan.
“Jumlah ini tidak termasuk hasil tangkapan melalui program dilaksanakan hari ini dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Jabatan Perikanan Perlis dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Pemuliharaan Sumber Perikanan Darat Sungai Perlis Bake With Love 4.0: Sinar Bawah Air di Sungai Perlis.
Program itu dianjurkan bersama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, Kedah.
Mohamad Haziq berkata penganjuran program itu susulan aduan penduduk tempatan mengenai lambakan spesies ikan asing.
Kehadiran ikan asing itu menjejaskan ekosistem Sungai Perlis, khususnya ikan bandaraya.
“Program ini bukan sekadar memfokus kepada penangkapan ikan asing sebaliknya bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar dan masyarakat awam mengenai kepentingan pemuliharaan ekosistem akuatik,” katanya.
SPIA Malaysia merupakan komuniti yang diasaskan oleh pemancing dan nelayan darat.
Komuniti sukarela itu aktif membanteras ikan bandaraya dengan lebih 1,000 ahli di seluruh Semenanjung Malaysia.








