SPRM mulakan pemantauan isu perolehan di Kementerian Pertahanan dengan eksesais khas, susulan sokongan penuh menteri.
KOTA BHARU: Beberapa kementerian telah dikenal pasti dalam radar pemantauan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu perolehan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki (gambar) berkata pemantauan itu dimulakan di Kementerian Pertahanan (MINDEF) susulan sokongan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
“Dalam radar kami memang ada beberapa kementerian yang kita lihat mempunyai masalah dari segi isu perolehan,” katanya.
Beliau berkata SPRM telah menambah empat pegawai integriti bagi menjalankan eksesais bersama MINDEF untuk menangani isu ketirisan.
Azam menegaskan isu perolehan melibatkan ketirisan perlu diberi perhatian serius kerana ia berkaitan usaha melindungi wang rakyat.
Perbincangan bersama menteri semalam turut menyentuh kerjasama berhubung kaedah tender dan sebut harga.
“Oleh itu, satu eksesais perlu dibuat merangkumi kajian, semakan dan audit oleh SPRM dan kementerian,” jelasnya.
Esesais itu akan melibatkan pakar dari Audit Negara dan bertujuan meneliti bagaimana ketirisan berlaku.
Ia juga bagi mengenal pasti kaedah penjimatan kos bagi memastikan setiap pembelian dilaksanakan secara telus.
“Sebagai contoh, bagi pembelian berskala besar, perlu ada konsultan untuk menilai sama ada harga yang ditawarkan berpatutan atau tidak,” katanya.
Tempoh enam bulan diberikan bagi pelaksanaan eksesais yang akan dimulakan dalam masa terdekat.
Azam menegaskan bahawa tugasan itu bukan berbentuk siasatan.
Kehadiran pegawai SPRM di MINDEF adalah untuk meneliti isu perolehan melibatkan pembelian alat ganti dan aset ketenteraan.
Jumlah pembelian tersebut adalah besar dan melibatkan unit-unit teknikal kementerian.








