Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata agensi itu akan terus beri tumpuan kepada kes berprofil tinggi dan ‘grand corruption’ pada 2026.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus memberi tumpuan kepada kes berprofil tinggi dan ‘grand corruption’ pada 2026.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, berkata strategi itu akan dilaksanakan dengan pendekatan lebih bersasar berdasarkan maklum balas laporan Transparency International (TI).
Beliau berkata walaupun laporan TI menyatakan Malaysia bebas daripada rasuah kecil, SPRM tetap komited dan menumpukan perhatian serius kepada penemuan berkaitan kewujudan rasuah politik.
“Jadi strategi 2026 kita kena tumpu pada sektor yang kita lihat bermasalah, iaitu penguatkuasaan, perolehan, ‘grand corruption’ dengan menggunakan strategi serampang tiga mata iaitu penguatkuasaan, pencegahan, pendidikan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Bernama.
Azam berkata antara faktor yang membimbangkan ialah variasi kes berulang melibatkan agensi tertentu seperti kes ‘counter setting’ yang masih berlaku saban tahun.
“Kes ini amat membimbangkan kerana ia bukan isu rasuah semata-mata, tapi melibatkan aspek keselamatan dalam negara apabila warga asing yang bermasalah dan mungkin berada dalam senarai hitam diberi kebenaran masuk oleh sindiket yang bersekongkol dengan penguat kuasa di pintu masuk negara,” katanya.
Beliau berkata SPRM memberi tumpuan dan penekanan penguatkuasaan kepada isu-isu melibatkan sektor penguatkuasaan, perolehan kerajaan, dana awam, ‘grand corruption’, kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam.
Azam berkata gejala rasuah boleh berlaku dalam mana-mana sektor sama ada awam ataupun swasta jika terdapat ruang untuk berbuat demikian.
“Justeru, pendekatan SPRM adalah berasaskan risiko, di mana pemantauan dan intervensi pencegahan ditumpukan pada bidang yang dikenal pasti mempunyai risiko rasuah paling tinggi,” katanya.
Beliau berkata sektor yang melibatkan kuasa membuat keputusan, peruntukan kewangan yang besar serta ruang budi bicara yang luas lazimnya mempunyai tahap risiko lebih tinggi.
“Antaranya perolehan dan projek pembangunan, kelulusan lesen atau permit, penguatkuasaan tertentu serta urus niaga dalam sektor swasta yang melibatkan kepentingan komersial berskala besar,” jelasnya.
Azam berkata SPRM melaksanakan pendekatan yang lebih strategik, profesional dan berasaskan risikan dalam memperkukuh siasatan serta penguatkuasaan.
“Bagi kes yang melibatkan individu berprofil tinggi, SPRM memastikan siasatan dijalankan secara bebas, telus dan berlandaskan undang-undang tanpa sebarang campur tangan,” katanya.
Beliau menegaskan prinsip bahawa tiada sesiapa kebal daripada undang-undang kekal menjadi pegangan utama SPRM.
Azam berkata SPRM secara berterusan sentiasa memanfaatkan teknologi digital, AI dan analitik data sebagai sebahagian daripada usaha memodenkan kaedah siasatan dan pencegahan rasuah.
“Penggunaan sistem digital, analisis data dan perkongsian maklumat antara agensi membolehkan SPRM mengenal pasti corak transaksi, hubungan kewangan dan aktiviti mencurigakan dengan lebih pantas dan berkesan,” jelasnya.
Beliau berkata SPRM melaksanakan setiap siasatan berdasarkan aduan, maklumat dan bukti yang diterima tanpa mengira latar belakang atau kedudukan individu yang terlibat.
“SPRM sentiasa menekankan ketelusan proses, pemakluman yang berfakta serta komunikasi strategik yang bertanggungjawab,” katanya.
Azam berkata SPRM tidak memilih bulu dan menyiasat sesiapa sahaja, sama ada di pihak kerajaan ataupun pembangkang.
“Prinsip SPRM jelas, iaitu tiada siapa kebal undang-undang. SPRM telah menyiasat kes jerung seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jabatan Air Sabah, projek lebuh raya MEX, kes-kes melibatkan bekas-bekas perdana menteri dan bekas menteri kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin,” katanya.
Beliau berkata setiap siasatan perlu memenuhi piawaian pembuktian yang tinggi sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan.
“SPRM juga sentiasa menambah baik pengurusan kes, penggunaan teknologi forensik kewangan serta kerjasama antara agensi bagi mempercepat siasatan tanpa menjejaskan profesionalisme,” katanya.
Azam berkata bagi menggalakkan budaya berani melapor kes rasuah, SPRM menyokong penuh penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Beliau berkata antara penambahbaikan yang perlu dilakukan adalah memberi perlindungan terhadap pemberi maklumat yang secara tidak sengaja memberikan sesuatu maklumat kes rasuah kepada pihak lain selain pihak berkuasa.
“Ketika ini, reformasi undang-undang berkenaan sedang dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan negara,” kata Azam.
Beliau menegaskan usaha membanteras rasuah tidak hanya bergantung pada penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya perlu disokong dengan pendekatan pendidikan dan pencegahan yang berterusan.
“SPRM turut memperkenalkan program insentif kepada penjawat awam yang tampil melaporkan perbuatan rasuah, iaitu ganjaran akan diberikan sekiranya laporan tersebut membawa kepada sabitan di mahkamah,” katanya.
Azam berkata masyarakat perlu berani menyalurkan maklumat dan melaporkan perbuatan rasuah melalui saluran yang sah serta membudayakan amalan integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam kehidupan seharian.
Tegasnya, usaha membina sebuah negara bebas rasuah bukan tanggungjawab agensi itu semata-mata, sebaliknya menuntut komitmen kolektif semua pihak.








