SPRM serahkan kertas siasatan dan cadangan pertuduhan rasuah membabitkan pegawai tertinggi ATM kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengemukakan kertas siasatan membabitkan pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada pihak pendakwa raya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kertas siasatan berhubung Ops Parasit dan Ops Star itu diserahkan hari ini bersama cadangan pertuduhan.
“Sebarang perkembangan lanjut berhubung perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa itu telah bermula sejak 7 Oktober 2025.
Ia disifatkan sebagai sensitif kerana melibatkan pegawai berpangkat tinggi serta kepentingan awam.
Penahanan 23 individu termasuk dua pegawai tinggi dan empat pegawai kanan ATM dilaporkan pada Khamis lepas.
Penahanan itu berhubung dakwaan menerima rasuah daripada beberapa syarikat.
Ia berkaitan dengan perolehan pembekalan di Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).








