Sepasang suami isteri berusia 28 tahun maut selepas motosikal mereka merempuh belakang lori rosak di Lebuhraya Pan Borneo dekat Selangau
SELANGAU: Sepasang suami isteri maut dalam kemalangan jalan raya apabila motosikal yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori rosak di Kilometer 97 Lebuhraya Pan Borneo Sibu–Bintulu.
Kejadian berlaku berhampiran Spiring, Selangau pada kira-kira 7.45 malam semalam.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai penunggang motosikal Kelly Baling, 28 tahun, dan isterinya Belula Amin, juga 28 tahun, yang membonceng.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhammad Rizal Alias berkata motosikal itu dalam perjalanan dari Bintulu menuju ke Selangau sebelum hilang kawalan.
“Motosikal tersebut kemudian melanggar belakang sebuah lori rosak yang diletakkan di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Selangau.
Mayat pasangan itu telah dibawa ke Hospital Mukah untuk prosedur bedah siasat.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis sedang mengesan pemilik serta pemandu lori berkenaan bagi membantu siasatan.
Orang awam yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Rahmat Jalimin.
Muhammad Rizal menasihati pemandu kenderaan berat supaya tidak meletakkan kenderaan rosak di bahu jalan terutama pada waktu malam.
“Sekiranya kenderaan rosak, pastikan tanda amaran diletakkan secukupnya mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya. – Bernama






