Sultan Ibrahim lawat SAMI, industri pertahanan Arab Saudi, tinjau teknologi ketenteraan termaju selaras Wawasan Saudi 2030.
RIYADH: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini melawat Industri Ketenteraan Arab Saudi (SAMI) bagi meninjau perkembangan terkini teknologi pembuatan ketenteraan negara itu.
Keberangkatan baginda di Industri Aeroangkasa Alsalam SAMI disambut Ketua Pegawai Eksekutif Thamer Al-Muhid.
Beliau menyampaikan taklimat mengenai projek dan inovasi syarikat dalam sistem pertahanan dan keselamatan.
Sultan Ibrahim diiringi Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj.
Turut serta Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta beberapa pegawai kanan kerajaan.
SAMI ditubuhkan pada 2017 bagi mempertingkatkan strategi industri pertahanan Arab Saudi.
Ia menyasarkan penyetempatan pembuatan ketenteraan dan pembangunan sistem pertahanan termaju selaras Wawasan Saudi 2030.
Operasi SAMI meliputi lima unit sektor utama penerbangan dan angkasa, sistem pertahanan, elektronik canggih, sistem darat dan sistem marin.
Sejak penubuhannya, SAMI mencapai beberapa pencapaian utama menyumbang kepada mampu diri Arab Saudi dalam industri ketenteraan.
Pencapaian itu dilaksanakan menerusi teknologi termaju dan bakat terbaik negara itu.
Sultan Ibrahim kini dalam lawatan negara empat hari ke Arab Saudi.
Menurut kenyataan Istana Negara, lawatan itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Arab Saudi memperkukuh hubungan dua hala.
Ia juga memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, geopolitik, pertahanan dan hal ehwal Islam.
Arab Saudi ialah rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan bernilai RM44.74 bilion. – Bernama









