Sultan Nazrin Shah menzahirkan kebimbangan terhadap umat Islam yang terperangkap dalam kebendaan, gilakan jawatan dan mabuk kuasa sehingga mengorbankan integriti.
KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menzahirkan kebimbangan terhadap sebahagian umat Islam yang dilihat kehilangan kompas kehidupan.
Baginda bertitah mereka terperangkap dalam gelombang kebendaan, gilakan jawatan dan mabuk dengan kuasa.
Kekayaan material bagaikan akidah baharu yang mendorong perlumbaan tidak sihat dan pengorbanan integriti.
Sultan Nazrin yang juga Pengerusi Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) menyifatkan kerakusan itu menyaksikan budaya sogokan dan fitnah.
Titah baginda, ia menjelmakan kembali sikap jahiliah yang memesongkan ketaatan manusia daripada kuasa Ilahi.
“Jawatan dan kuasa adalah ujian terhadap tingkat keimanan dan ketakwaan seseorang insan.”
“Jika tidak dikembari dengan iman dan takwa, ia boleh menjejaskan ketauhidan serta mengalih ketaatan daripada perintah Allah SWT kepada arahan manusia,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah institusi Islam juga menerima tempias persepsi negatif sekiranya berlaku kelemahan pengurusan.
Baginda menegaskan insan yang diamanahkan memimpin institusi Islam hendaklah memiliki integriti yang tidak boleh diragukan.
Mereka juga perlu berfikiran proaktif, mencetuskan idea inovatif dan berani meneroka wilayah baharu.
Sultan Nazrin turut menekankan kepentingan pendidikan yang mengutamakan pembinaan kekuatan dalaman.
Baginda bertitah Islam mementingkan kelahiran insan seimbang dan holistik, bukan sekadar pencapaian akademik.
“Roh dan matlamat suci pendidikan perlu diutamakan, khususnya dalam usaha membantu meletakkan negara di landasan yang betul.”
“Ahli-ahli MKI wajib mencapai kata sepakat memberikan tumpuan terhadap agenda pendidikan ummah,” titah Sultan Nazrin dalam Mesyuarat MKI Ke-74 di sini.
Mesyuarat itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.








