Saturday, November 15, 2025
28.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Sultan Nazrin kurnia darjah kebesaran kepada 205 penerima di Perak

Sultan Perak kurnia darjah kebesaran kepada 205 penerima di Istana Iskandariah, termasuk 13 penerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini

KUALA KANGSAR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak kepada 205 penerima bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-69 di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Penerima pada hari ini adalah sebahagian daripada 238 penerima yang dikurniakan darjah kebesaran dan pingat bersempena hari keputeraan baginda yang disambut pada 7 Nov.

Mendahului senarai penerima hari ini ialah Ketua Jabatan Patologi Hospital Teluk Intan Dr Abdul Kadir Rifaei Abd Rashid Khairi yang juga antara 13 penerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM).

Penerima PCM yang lain antaranya Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Farah Adura Hamidi serta Timbalan Pengarah Kanan Unit Perancang Ekonomi Negeri Haslinda Alias.

Sultan Nazrin turut mengurniakan Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) kepada 26 penerima termasuk Timbalan Rektor Universiti Teknologi Mara Prof Madya Dr Mohd Azian Zaidi serta anugerah secara anumerta kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning Allahyarham Ishsam Shahruddin.

Ketua Polis Daerah Selama Supt Sarudin Samah pula antara 14 penerima Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM). 

Selain itu, sebanyak 39 individu menerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), antara penerimanya ialah  bekas atlet boling kebangsaan yang pernah menjadi juara Kejohanan Boling Dunia 2017 di Las Vegas, Syaidatul ‘Afifah Badrul Hamidi. 

Sementara itu, sebanyak 46 individu menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan lapan penerima dikurniakan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).  

Atlet beregu campuran badminton negara Chen Tang Jie  dan Toh Ee Wei dikurniakan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) bersama 55 lagi penerima. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories