Polis percaya suspek letupan di Nilai ada pengetahuan kimia, IT dan kemahiran buat IED, dikategorikan sebagai individu berbahaya dan amat dikehendaki
SEREMBAN: Suspek dalam kejadian letupan di kawasan Desa Palma, Nilai pada 22 Dis lepas dipercayai mempunyai pengetahuan teknikal dan kemahiran khusus dalam pembuatan bahan letupan.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata penemuan peranti dan peralatan di rumah sewa suspek menunjukkan keupayaan tersebut.
“Siasatan mendapati suspek mempunyai pengetahuan dalam bidang kimia dan pernah bekerja di kilang farmaseutikal selama tiga tahun serta berpengetahuan dalam bidang teknologi maklumat,” katanya.
Penilaian mendapati bahan letupan itu berada dalam keadaan sempurna dari segi penyediaan bahan, pemasa dan sensor.
Kegiatan itu dipercayai dilakukan sejak enam bulan lepas.
Suspek diklasifikasikan sebagai individu berbahaya dan amat dikehendaki kerana dipercayai terlibat secara langsung dalam penyediaan bahan letupan.
Beliau juga mempunyai satu kes jenayah lampau di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Pemeriksaan di rumah suspek menemui 31 lagi bahan peranti bahan letupan buatan sendiri atau Improvise Explosive Device (IED).
Kesemua bahan letupan itu telah dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom polis.
Pemusnahan mendapati bahan letupan berkenaan mempunyai radius letupan hingga 20 meter.
Serpihan bahan letupan itu boleh menjangkau sejauh 30 meter.
“Melihat kepada penyediaan tersebut, kita tafsirkan bahawa dia mempunyai pengetahuan menyediakan suatu bahan letupan yang sempurna,” kata Alzafny.
Suspek dikategorikan sebagai sangat berbahaya dan bijak menyembunyikan identiti dengan memakai pelitup muka, topi atau rambut palsu.
Siasatan mendapati dia menghindarkan diri daripada orang ramai, bersifat agresif dan telah berpisah dengan keluarga lebih 30 tahun lepas.
Suspek juga ada sejarah pernah memukul kekasihnya dan dipercayai masih berada di Negeri Sembilan.
Setakat ini, sebanyak 14 saksi telah dirakam percakapan dan rakaman CCTV di kawasan sekitar telah diperoleh untuk dianalisis.
Polis meminta orang ramai membantu mengesan suspek yang dipercayai mengalami kecederaan serius akibat letupan.
Mana-mana pusat perubatan, klinik atau farmasi yang mengesyaki suspek menerima rawatan diminta menyalurkan maklumat kepada polis.
“Dia kini sedang bersembunyi dan mungkin disembunyikan,” kata Alzafny.
Beliau menambah lelaki itu bergerak sendirian dan tiada kaitan dengan kumpulan pengganas atau gengsterisme.
Kejadian letupan itu dilaporkan orang awam pada 7.08 pagi 22 Dis di kawasan Desa Palma.








