Tiga kru bot Indonesia terselamat, manakala tiga lagi terperangkap dalam bot tunda yang terdampar di Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus
KUALA NERUS: Tiga kru bot warga Indonesia terselamat manakala tiga lagi masih terperangkap di dalam bot tunda yang terdampar di Pantai Batu Rakit.
Kejadian berlaku di sekitar kawasan pembinaan benteng pemecah ombak petang ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata enam kru termasuk kapten berlepas dari Pelabuhan X One di Songkhla, Thailand menuju ke Singapura pada Rabu lepas.
Bot yang dinaiki mereka mengalami kerosakan dan dihanyutkan ombak ke pantai berkenaan sekitar 1 tengah hari tadi.
Polis menerima laporan daripada orang awam pada 4.30 petang.
“Setiba di lokasi, kita dapati terdapat sebuah bot tunda terdampar di pesisir pantai,” katanya.
Tiga kru berjaya diselamatkan orang awam manakala tiga lagi masih terperangkap di atas bot.
Usaha menyelamat mangsa dijalankan oleh polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Azli berkata operasi menyelamat agak sukar dan mengambil masa berikutan cuaca buruk serta ombak kuat.
Polis telah memasang tali garisan kuning bagi mengelak orang awam memasuki lokasi.
“Setakat ini tiada kehilangan nyawa dilaporkan,” jelasnya.
Tiga kru yang terselamat berada di bawah pemantauan pasukan perubatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu. – Bernama







