Tiga kru warga Indonesia terperangkap dalam bot tunda terdampar di Pantai Batu Rakit, Kuala Terengganu, berjaya diselamatkan petang tadi.
KUALA TERENGGANU: Tiga daripada enam kru warga Indonesia terperangkap dalam bot tunda terdampar di Pantai Batu Rakit berjaya diselamatkan kira-kira 6.20 petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus Azmi Omar berkata tiga lelaki itu dikeluarkan menggunakan kaedah tali yang dipasang pada bot dan diikat pada batu benteng pemecah ombak.
Sebelum itu, pihak kontraktor menggunakan jengkaut untuk menarik bot yang berada kira-kira 50 meter di air ke tepi pantai.
“Pihak bomba dan kontraktor mengambil masa sekitar satu jam setengah untuk menarik bot ke tepi pantai dan menyelamatkan mangsa menggunakan tali yang dipasang pada bot, bagi membolehkan mereka bergayut keluar ke darat,“ katanya.
Azmi berkata kebimbangan utama ialah sekiranya mereka terjatuh ketika bergayut keluar kerana ombak sangat besar.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata enam kru warga Indonesia termasuk tiga lagi yang diselamatkan awal petang kini berada di Balai Polis Batu Rakit.
Beliau berkata pihak majikan enam warga Indonesia yang berusia antara 20 hingga 38 tahun itu telah dimaklumkan untuk mengendalikan urusan perjalanan pulang.
“Kesemua mangsa mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit yang sah,“ katanya.
Difahamkan kapal tunda itu dalam perjalanan menunda sebuah tongkang yang membawa muatan pasir dari Songhkla, Thailand ke Punggol, Singapura. – Bernama







