KUALA LUMPUR: Trajektori paras hutang kerajaan dijangka kekal dalam lingkungan had statutori hutang semasa untuk jangka masa sederhana disebabkan oleh pinjaman tambahan dalam tempoh pandemik COVID-19 dan keperluan pembiayaan Rancangan Malaysia Ke-12.
Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2023 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada Jumaat, had statutori hutang semasa pada paras 65 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan dikekalkan.
Ia menjelaskan ini bagi menyediakan ruang fiskal dalam melaksanakan agenda pembangunan negara serta memperkukuh dan memastikan pemulihan ekonomi yang berkesan.
“Pada masa yang sama, kerajaan sedang mengkaji kebolehlaksanaan mempunyai statutori hutang tunggal sebagai satu daripada peraturan fiskal,“ tambahnya.
Menurut laporan itu, dalam melangkah ke hadapan, pengurangan beban hutang penting dalam menambah baik kemampuan keberhutangan kerajaan untuk jangka masa panjang.
“Kerajaan bertekad mengurangkan nisbah hutang kepada KDNK secara beransur-ansur bagi menyediakan ruang fiskal yang mencukupi dalam menghadapi kemungkinan krisis pada masa hadapan.
“Pengurangan beban hutang ini dapat direalisasikan melalui pembaharuan fiskal serta kutipan hasil pascakrisis yang lebih baik dan rasionalisasi perbelanjaan. Momentum pertumbuhan ekonomi yang kekal positif dengan kesan 6.5 hingga 7.0 peratus pada 2022 akan meningkatkan trend penurunan trajektori paras hutang,“ jelasnya.
Sebagai perbandingan antara negara berpenarafan ‘A’ dan ekonomi serantau terpilih, laporan tersebut menerangkan hutang daripada KDNK bagi Malaysia (63.4 peratus) berada pada kedudukan keenam tertinggi pada 2021 selepas Jepun (242 peratus), Singapura (145.9 peratus), Sepanyol (118.4 peratus), Laos (95.2 peratus) dan Slovenia (74.79 peratus).
Dari aspek nisbah bayaran khidmat hutang (DSC) kepada hasil pula, Laos mencatatkan nisbah tertinggi iaitu 19.2 peratus berbanding Malaysia (16.3 peratus) manakala negara lain merekodkan nisbah kurang daripada 10 peratus termasuk Jepun (4.0 peratus) dan Singapura (0.1 peratus), tambahnya.
Laporan itu menambah, bagaimanapun paras hutang Malaysia kekal terurus walaupun DSC kepada hasil mencatatkan nisbah yang lebih tinggi berbanding Jepun dan Singapura.
“Kerajaan berterusan mengurangkan pendedahan risiko hutang dengan mengutamakan pasaran domestik yang mempunyai kecairan yang mencukupi, mengekalkan hutang dalam mata wang asing dengan komposisi rendah dan mematuhi keperluan undang-undang dalam memenuhi obligasi DSC menggunakan hasil,“ menurutnya.
Laporan itu juga memaklumkan, walaupun beberapa pindaan had siling hutang dilaksanakan bagi menyediakan ruang fiskal tambahan, Malaysia kekal berdaya tahan menghadapi cabaran untuk menyelesaikan pembayaran hutang matang dan faedah.
Peraturan fiskal yang digunakan di peringkat global merangkumi obligasi bajet berimbang, had perbelanjaan, langkah hasil dan had siling hutang.
Pematuhan kepada peraturan fiskal memerlukan komitmen penuh kerajaan bagi memastikan objektif fiskal iaitu pemampanan fiskal dan hutang yang dapat dicapai, jelasnya.
“Peraturan hutang yang termaktub dalam peruntukan undang-undang telah membantu Malaysia mengawal hutang pada paras terurus terutamanya semasa krisis.
“Memandangkan kerajaan tidak boleh mengeluarkan pinjaman, terdapat keperluan untuk mengekalkan kemampuan keberhutangan dan kemampanan hutang bagi memastikan daya tahan ekonomi dalam jangka masa sederhana dan panjang,“ menurutnya. – Bernama









