the sun malaysia ipaper logo 150x150
Saturday, December 13, 2025
26.4 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Trump ucap terima kasih kepada PM Anwar bantu hentikan pertempuran Kemboja-Thailand

Presiden AS Donald Trump mengumumkan Kemboja dan Thailand setuju hentikan tembakan di sempadan, berterima kasih kepada PM Anwar Ibrahim atas bantuan

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Jumaat bahawa Kemboja dan Thailand bersetuju untuk menghentikan pertempuran di sempadan, sambil merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim atas bantuan yang diberikan.

Dalam satu hantaran di Truth Social, Trump berkata beliau telah mengadakan perbualan yang baik dengan kedua-dua perdana menteri, iaitu Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul.

“Mereka telah bersetuju untuk MENGHENTIKAN semua tembakan berkuat kuasa malam ini dan kembali kepada Perjanjian Damai asal yang dimeterai bersama saya dan mereka, dengan bantuan Perdana Menteri Malaysia yang hebat, Anwar Ibrahim.

“Merupakan satu penghormatan bagi saya untuk bekerjasama dengan Anutin dan Hun dalam menyelesaikan isu yang berpotensi berkembang menjadi peperangan besar antara dua negara yang sepatutnya aman dan makmur. 

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, atas bantuannya dalam perkara yang amat penting ini,” tulisnya.

Beliau juga berkata bahawa kedua-dua negara bersedia untuk mencapai keamanan serta meneruskan perdagangan dengan Amerika Syarikat.

Terdahulu, Anwar berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan Trump mengenai konflik Kemboja-Thailand menerusi satu panggilan telefon.

“Berhubung ketegangan di sempadan Kemboja-Thailand, saya menjelaskan peranan Malaysia dalam menggesa kedua-dua negara supaya bertenang dan kembali ke meja rundingan melalui dialog serta mekanisme dua hala dan ASEAN,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia akan mengadakan mesyuarat khas menteri-menteri luar ASEAN dalam masa terdekat bagi menilai keadaan dan menyokong langkah-langkah meredakan ketegangan di rantau ini.

Konflik sempadan Kemboja-Thailand yang berlarutan sejak sekian lama kembali memuncak pada Julai lalu, mencetuskan pertempuran ketenteraan selama lima hari.

Kedua-dua negara kemudiannya bersetuju melaksanakan gencatan senjata di Kuala Lumpur pada 24 Julai sebelum menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur pada 26 Okt semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang disaksikan oleh Anwar selaku Pengerusi ASEAN dan Trump.

Bagaimanapun, pertempuran kembali tercetus baru-baru ini, mengakibatkan beberapa kematian serta memaksa ribuan penduduk dipindahkan. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories