JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail hari ini, berangkat menyempurnakan pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, projek yang melengkapkan jaringan pengangkutan rel bagi laluan selatan antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
Keberangkatan tiba Tunku Mahkota Ismail di Stesen Kempas Baru di sini disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Turut menyambut keberangkatan baginda ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan serta Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Asman Shah Abd Rahman dan turut hadir Pengarah Urusan SIPP-YTL JV Datuk Seri Yeoh Seok Hong.
Selepas menyempurnakan gimik perasmian, Tunku Mahkota Ismail berkenan berangkat melawat galeri susur minda di stesen keretapi itu yang memaparkan sejarah dan maklumat Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) serta maklumat berkaitan projek tersebut.
Perasmian itu menandakan Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral akan beroperasi secara rasmi esok sekali gus melengkapkan sambungan laluan yang sebelum ini berakhir di Kluang.
ETS3 bagi laluan selatan melibatkan laluan KL Sentral-Kluang mula beroperasi pada 30 Ogos dan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan memaklumkan projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru sepanjang 192 kilometer itu dibangunkan SIPP-YTL JV sebagai subkontraktor utama tempatan.
Projek itu memodenkan sepenuhnya koridor rel di Johor melalui pembinaan 11 stesen baharu yang direka berteraskan identiti dan warisan negeri meliputi empat daerah utama, iaitu Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru dengan stesen terakhir di JB Sentral.
Projek nasional berskala besar itu direalisasikan melalui kerjasama strategik antara MOT sebagai peneraju dasar, KTMB pengendali perkhidmatan rel dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) selaku pemilik set serta pemacu pembangunan bersepadu.
Sempena pembukaan perkhidmatan ETS3 ke JB Sentral, KTMB menawarkan diskaun istimewa 30 peratus melibatkan perjalanan dari esok hingga 11 Jan 2026 bagi sektor KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral.
Sebanyak 5,000 kod promosi ditawarkan tertakluk kepada terma dan syarat dengan menggunakan kod promosi JBBEST, semasa pembelian tiket melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB atau mesin kios.







