Dr Wan Azizah menyeru wanita supaya yakin dengan potensi diri dan tabah menghadapi cabaran hidup, terutamanya dalam mengimbangi peranan sebagai isteri, ibu dan kerjaya.
PUTRAJAYA: Wanita perlu terus yakin dengan potensi diri dan tabah menghadapi cabaran hidup.
Ini terutamanya dalam mengimbangi peranan sebagai isteri, ibu dan kerjaya, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata setiap ujian dalam hidup adalah sebahagian daripada ketentuan Allah.
Wanita perlu bersabar serta bergantung kepada-Nya untuk menempuh cabaran itu.
“Allah tidak akan menguji kita lebih daripada kita boleh tahan.
Allah mengetahui hamba-hamba ini lebih daripada hamba mengetahui diri sendiri,” katanya ketika berucap pada Usrah Mega Muslimah (UMMu) 2025 di sini.
Dr Wan Azizah turut menzahirkan penghargaan kepada dedikasi penjawat awam khususnya wanita.
Beliau menyatakan sokongan mereka penting dalam pelaksanaan agenda reformasi kerajaan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan.
“Tunjuklah tahap profesionalisme yang tinggi, tingkatkan empati serta tatakelola yang baik,” katanya.
Program UMMu 2025 mengangkat tema “Akhirnya Sempurna”.
Ia diadakan bagi menyemarakkan keseimbangan antara kerjaya dan keluarga dalam kalangan petugas wanita agensi agama.
Program itu turut memperkukuh kekuatan rohani melalui pendekatan al-Quran dan ibadah.
Ia menekankan keindahan al-Quran sebagai terapi jiwa serta memberi pendedahan tentang cara mengatur keutamaan hidup.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Hadir sama Presiden Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama merangkap Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM Datuk Mohd Ajib Ismail.







