Warga emas 66 tahun, Ammase Baco, tunjuk semangat patriotik dengan keluar mengundi di PRK Kinabatangan walaupun penglihatan terbatas.
KINABATANGAN: Walaupun penglihatan terbatas, Ammase Baco, 66, tetap bersemangat untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
Beliau ditemani anak perempuannya di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Bukit Garam II.
“Saya tidak pernah melepaskan peluang untuk mengundi setiap kali pilihan raya, walaupun dalam keadaan mata saya tidak dapat melihat akibat masalah selaput mata yang teruk,” katanya kepada Bernama.
Ini adalah kali kedua dia menunaikan tanggungjawab dengan bantuan anaknya sejak mengalami masalah penglihatan pada September lepas.
Kali pertama beliau berbuat demikian adalah pada Pilihan Raya Negeri Sabah pada 29 November lepas.
Beliau menjelaskan penglihatannya mula kabur selepas terjatuh tangga rumah dan sejak dua bulan lepas langsung tidak dapat melihat.
Sementara itu, pengundi muda Siti Khairia Asri, 21, yang mengundi buat kali kedua, turut tidak mahu melepaskan peluang menunaikan tanggungjawabnya.
Siti Khairia berkata walaupun PRN baru sahaja berlangsung, itu bukan alasan bagi golongan muda untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Parlimen Kinabatangan memiliki sebanyak 48,282 pengundi biasa yang layak mengundi.
DUN Lamag pula mempunyai 13,515 pengundi.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).
Di DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember tahun lepas.








