Ahmad Zahid Hamidi berkata pelantikan Hannah Yeoh dan Lo Su Fui tidak akan jejas agenda Melayu di Wilayah Persekutuan, jamin kepentingan semua pihak terjaga.
KUALA LUMPUR: Pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan Datuk Lo Su Fui sebagai Timbalannya tidak akan menjejaskan agenda Melayu di Wilayah Persekutuan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai beberapa pertimbangan sebelum melantik mereka.
“Semua keputusan utama itu dibawa kepada Kabinet dan pertimbangan dibuat berdasarkan beberapa ketentuan bahawa kepentingan semua pihak akan terjaga,” katanya.
Beliau menegaskan perkara itu bukan soal bangsa kerana Kerajaan MADANI memberikan keprihatinan terhadap keterangkuman dalam agenda nasional.
Ahmad Zahid berkata prestasi Hannah semasa menerajui Kementerian Belia dan Sukan membuktikan tiada agenda perkauman sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Pelantikan itu juga mengambil kira kedudukan Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Beliau turut memberikan jaminan bahawa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri akan bersama-sama melakukan pemantauan bagi menentukan agenda nasional sentiasa diberi keutamaan.
Rombakan Kabinet pada Selasa menyaksikan Hannah bertukar portfolio daripada Menteri Belia dan Sukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Lo Su Fui yang merupakan muka baharu dan mewakili parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilantik sebagai timbalannya.








