KUALA LUMPUR: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang telah merangka draf kerja bagi Rang Undang-Undang Keselamatan Digital 2023, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said (gambar).
Beliau berkata draf itu adalah titik permulaan bagi mengerakkan inisiatif penggubalan Rang Undang-Undang Keselamatan Digital 2023 pada kadar segera dan selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Azalina berkata perkara itu dimaklumkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Cadangan Penggubalan Undang-Undang Baharu Berkaitan dengan Kemudaratan Jenayah Dalam Talian Bil 2/2024 yang dipengerusikan oleh beliau bersama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di Bangunan Parlimen hari ini.
“Pada mesyuarat tersebut, saya telah menekankan betapa pentingnya kewujudan satu perundangan prosedur khusus yang dapat menangani cabaran-cabaran yang sedang dialami dan bakal timbul seiring dengan perkembangan teknologi.
“Teknologi kecerdasan buatan yang semakin maju akan terus berkembang maka kita sewajarnya membuat persiapan dari sekarang agar kita dapat berada selangkah di hadapan dalam perkara ini,” katanya menerusi hantaran di laman X.
Turut hadir pada mesyuarat itu Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran.
Pada 15 Jun 2023, Anwar berkata Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara sepakat agar Rang Undang-Undang Keselamatan Siber digubal segera untuk memastikan segenap aspek perundangan yang berkaitan dapat dituntaskan. -Bernama