KUALA LUMPUR: Seorang bekas pemilik syarikat rekaan dalaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki berhubung kerja pengubahsuaian rumah bernilai RM50,000, dua tahun lepas.

Wong Hong Jun, 40, yang ketika itu pemilik syarikat Murasaki Design & Builds didakwa bersama-sama seorang individu yang masih bebas menipu Nigel Ong Tat Wai, 39, dengan memperdayakannya untuk mempercayai tertuduh melakukan kerja pengubahsuaian rumah sehinggga mendorong mangsa menyerahkan wang RM50,000 ke dalam akaun bank syarikat milik tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Tasik Damai, Brickfields di sini pada 12.15 tengah hari, 26 Jun 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zuhairi Osman menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Nurshuhada Imraanuar daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga.

Majistret Illi Marisqa Khalizan membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Feb depan untuk sebutan kes. -Bernama