• 2025-08-08 03:58 PM

TOKYO: Seramai 122,400 penduduk di bandar Kirishima, selatan Jepun, diarahkan berpindah ekoran hujan lebat berterusan, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Menurut penyiar nasional Jepun, NHK, pihak berkuasa mengeluarkan amaran hujan lebat di Kirishima, wilayah Kagoshima, sejak 5 pagi waktu tempatan (8 malam GMT).

Paras air sungai di banyak kawasan melepasi tahap bahaya, manakala hujan lebat dan ribut petir diramal berterusan di bahagian selatan dan utara wilayah itu sehingga Ahad.

Jabatan meteorologi memaklumkan bahawa beberapa kawasan di Kirishima menerima sekitar 495 milimeter hujan dalam tempoh 12 jam, bersamaan jumlah purata hujan selama satu setengah bulan - BERNAMA-SPUTNIK