• 2025-08-20 04:24 PM

KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 jalan utama sekitar Putrajaya akan ditutup bermula 6 pagi hingga 12 tengah hari pada 26 hingga 29 Ogos ini bagi raptai sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata antara laluan terlibat ialah Lebuh Wawasan/Persiaran Perdana, Jalan Tun Razak/Lebuh Bestari, Jalan Tun Razak/Jalan Pembangunan, Lebuh Setia/Jalan Perpaduan, Jalan Kemerdekaan/Jalan Tun Hussien dan Dataran Putra/Persiaran Perdana.

Beliau berkata 14 laluan utama ke Core Island Putrajaya akan ditutup sepenuhnya bermula 10 malam pada 29 Ogos hingga 31 Ogos.

Antara laluan berkenaan ialah Lingkaran Putrajaya/Jambatan Saujana, Lebuh Sentosa/Lebuh Wawasan, lampu isyarat Lebuh Wawasan/Jambatan Wawasan, Bulatan Salahuddin/Dataran Perdana, lampu isyarat Jalan Pembangunan/Jalan Tun Hussien dan lampu isyarat Lingkaran Gemilang Satu/Persiaran Perdana.

“Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan, tiba awal di tapak sambutan Hari Kebangsaan selain menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, iaitu bas ulang-alik yang disediakan secara percuma dengan kekerapan masa 15 minit dari tiga lokasi berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata 2,708 pegawai dan anggota bertugas mengawal keselamatan dan trafik bagi sambutan Hari Kebangsaan yang akan diadakan di Putrajaya dengan jangkaan kehadiran 100,000 pengunjung.

Beliau berkata polis turut melaksanakan Op Pencegahan Jenayah bersempena dengan sambutan Ambang Merdeka 2025, dengan menumpukan kepada pemantauan kawasan hotspot, lokasi tumpuan orang ramai serta usaha mencegah dan membanteras jenayah di sekitar ibu kota. – Bernama