KUALA LUMPUR: Polis menahan 14 lelaki termasuk 10 warga asing dalam empat serbuan berasingan menerusi operasi khas Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar Bintulu, Sarawak dengan nilai rampasan berjumlah RM35.946 juta.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din dalam kenyataan berkata tiga daripada serbuan itu dijalankan serentak pada Isnin lepas (20 Mei) manakala satu lagi serbuan pada Khamis (23 Mei).

Beliau berkata dalam serbuan pertama, pihaknya menahan seorang lelaki dan merampas 32,000 liter diesel bersubsidi, 32 tangki Intermediate Bulk Container (IBC) serta empat pam minyak berserta hos dengan nilai dianggarkan RM140,200 dengan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Mohd Kamarudin berkata dalam serbuan kedua, pihaknya menahan seorang lelaki dan merampas 10,030 liter diesel bersubsidi, 16 tangki IBC, tiga pam minyak berserta hos dan sebuah meter digital bernilai RM54,093 dan kes disiasat mengikut akta sama.

Dalam serbuan ketiga dengan kerjasama Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA), katanya pihaknya menahan enam lelaki warga asing dan merampas 7,172 liter minuman keras pelbagai jenis bersama 250,000 batang rokok pelbagai jenama dan dua van bernilai RM3.118 juta.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 6(1)© dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Dalam serbuan terakhir pada Khamis lepas dengan kerjasama MCBA dan turut disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Miri, Mohd Kamarudin berkata enam lelaki termasuk empat warga asing ditahan.

Menurut beliau sebanyak 146,720 liter diesel bersubsidi, dua bot tunda, sebuah kapal tangki minyak, tiga pam minyak berserta hos, sebuah lori bonded, sebuah tangki skid serta dua tangki IBC bernilai RM32.633 juta dirampas manakala kes turut disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Mohd Kamarudin berkata sejak 1 Jan hingga 24 Mei lepas, pihaknya menjalankan 82 serbuan di seluruh negara dan menahan 185 individu bagi membanteras aktiviti penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi serta penyeludupan hidupan liar dengan rampasan berjumlah RM230.618 juta.