ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 150,000 tan bahan kimia berbahaya dianggarkan merentasi sempadan Malaysia dan Singapura melalui Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) setiap tahun.
Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar menegaskan tiada sebarang kemalangan melibatkan tumpahan bahan kimia dilaporkan di lokasi tersebut setakat ini. “Persiapan rapi melalui latihan simulasi sentiasa dilakukan bagi mencegah insiden dan memastikan tindakan pantas dapat diambil,“ katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian selepas latihan simulasi kecemasan menangani tumpahan bahan kimia anjuran Jawatankuasa Bersama Malaysia-Singapura mengenai Alam Sekitar (MSJCE) kali ke-14 di Linkedua. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura Wong Kang Jet.
Wan Abdul Latiff menambah, latihan bersama NEA dan 15 agensi lain dapat meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara serta memperkukuh tindak balas pelbagai pihak dalam mengurangkan risiko tumpahan bahan kimia. “Latihan ini penting untuk memperkukuh komunikasi dan penyelarasan sumber manusia serta aset bagi menangani isu tumpahan bahan kimia,“ jelasnya.
Beliau turut menyatakan Singapura menjadi tuan rumah latihan kali ini, dan Malaysia dijangka menjadi hos dua tahun lagi. - Bernama