Your Title

KOTA KINABALU: Sebanyak 18 buah rumah separuh kekal musnah dalam kebakaran yang berlaku petang ini di Kampung Kuala Abai, Kota Belud, Sabah.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan pihak bomba menerima panggilan kira-kira pukul 3.43 petang sebelum bergerak ke tempat kejadian sejauh 13 kilometer.

“Operasi terkawal pada jam 5.20 petang dan kerja-kerja memadam bara api masih dijalankan dengan menggunakan 500 kaki hos bomba, dua aliran, dua pancutan sumber air dari tangki jentera dan air dari sungai yang berhampiran,“ menurut kenyataan itu.

Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, lapan dari BBP Tuaran bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kulambai dan PBS Pangkalan Abai turut sama memadam kebakaran itu.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) turut berada dilokasi kejadian bagi membantu memastikan keadaan terkawal.

Tiada kecederaan dan kematian dilaporkan setakat ini.