GEORGE TOWN: Polis akan menugaskan seramai 345 pegawai dan anggota sepanjang raptai dan sambutan Hari Kebangsaan peringkat Pulau Pinang yang bermula esok hingga Sabtu ini di Padang Kota Lama di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Razlam Ab Hamid berkata pihak polis akan menempatkan pegawai dan anggota di beberapa lokasi raptai penuh pada esok, raptai persembahan iaitu Jumaat dan sambutan Hari Kebangsaan pada Sabtu.

“Secara keseluruhannya seramai 345 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut akan bertugas selama tiga hari bermula esok bagi menjaga keselamatan dan kelancaran lalu lintas di kawasan terlibat,“ katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu juga, beberapa jalan yang terlibat akan ditutup secara berperingkat.

Jalan yang terlibat ialah Jalan Tun Syed Sheh Barakbah, Lebuh Light, Pengkalan Weld dan Lebuh Pantai yang ditutup sepenuhnya bermula 12.01 tengah malam (esok) hingga 12 tengah hari atau majlis selesai.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan atau menggunakan laluan alternatif dan meletakkan kenderaan di kawasan ditetapkan.