KOTA BHARU: Sebanyak 453 premis dan pelbagai kategori produk di Kelantan telah menerima Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sejak awal tahun ini.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Mohd Asri Mat Daud berkata penerimaan sijil itu melibatkan produk makanan dan minuman, dapur hotel, premis makanan serta farmaseutikal.
Beliau berkata sijil berkenaan turut diberikan kepada produk kosmetik dan dandanan diri, rumah sembelihan, pengilangan kontrak (OEM) serta barang kegunaan harian.
“Mengikut data yang diperoleh, daripada 453 sijil SPHM diberikan sepanjang tahun ini terdapat 48 produk bukan muslim,“ katanya selepas majlis penyerahan sijil halal kepada sebuah kilang pembuat dan pembekal kek di Kota Seribong di sini hari ini.
Mohd Asri menyeru lebih ramai pengusaha kecil termasuk perniagaan yang dijalankan di rumah untuk memohon SPHM dalam usaha memperkasakan industri halal.
“Sijil ini tidak terhad kepada produk makanan dan minuman sahaja namun turut tertakluk kepada dapur hotel, pusat dandanan dan sebagainya. SPHM menjadi prasyarat di Kelantan untuk perbaharu lesen pihak berkuasa tempatan (PBT) membabitkan produk makanan dan minuman.
Mengulas mengenai isu tiga hotel yang ditarik balik sijil halal baru-baru ini, Mohd Asri berkata perkara itu dianggap selesai dan ketiga-tiga hotel berkenaan telah memohon semula dan sedang menunggu kelulusan.