KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara 3/2025 mendedahkan pengurusan kenderaan konsesi kerajaan kurang memuaskan apabila 6,028 kenderaan lewat dibekalkan oleh syarikat konsesi.
Anggaran penalti RM54.51 juta tidak dikenakan kepada pihak terlibat menurut LKAN 3/2025 berhubung Penyata Kewangan Kerajaan 2024 yang dibentang di Dewan Rakyat.
Perjanjian Konsesi antara Kementerian Kewangan dan syarikat konsesi menetapkan setiap kenderaan perlu dibekalkan dalam tempoh 60 hari bekerja daripada tarikh pesanan.
Analisis Audit menggunakan data sistem pengurusan kenderaan syarikat konsesi mendapati hingga 31 Disember 2024 sebanyak 6,028 kenderaan konsesi lewat dibekalkan antara satu hingga 508 hari.
“Semakan Audit juga mendapati hingga tempoh pengauditan dijalankan tiada rekod menunjukkan tuntutan penalti dibuat kepada syarikat konsesi” menurut laporan berkenaan.
Laporan itu turut mendedahkan kerajaan menanggung kos yang lebih tinggi dengan anggaran RM28.79 juta akibat penggunaan 5,323 kenderaan konsesi yang telah tamat tempoh pajakan antara 2021 hingga 2024.
Berdasarkan pengiraan Audit sekiranya kenderaan itu digantikan dengan kenderaan baharu mengikut tempoh yang sepatutnya kerajaan hanya perlu membayar RM94.64 juta.
Jumlah ini berbanding RM123.43 juta yang telah dibelanjakan untuk kenderaan tamat tempoh pajakan.
Jabatan Audit Negara telah mengesyorkan MOF selaku pentadbir kontrak memastikan tindakan diambil terhadap kutipan anggaran penalti RM54.51 juta.
Mereka juga mengesyorkan menyegerakan penyelesaian isu penggantian kenderaan tamat tempoh pajakan.
MOF dalam maklum balas memaklumkan kementerian telah menubuhkan Jawatankuasa Penalti dan Jawatankuasa Kerja Penilaian Penalti untuk meneliti tuntutan penalti.
Jawatankuasa Penalti dipengerusikan oleh timbalan ketua setiausaha perbendaharaan dan dianggotai oleh wakil pelbagai bahagian di MOF dan wakil Jabatan Akauntan Negara.
“MOF telah mengadakan mesyuarat perhubungan bersama semua kementerian pada 18 Ogos 2025 dengan tujuan memaklumkan dapatan Jabatan Audit Negara dan tindakan susulan” menurut laporan itu.
Berkenaan kenderaan tamat tempoh MOF memaklumkan penggunaan kenderaan terbabit adalah bagi memastikan penyampaian perkhidmatan tidak terjejas.
Mereka juga mengambil kira isu pembekalan kenderaan gantian oleh pihak pengilang yang dihadapi oleh syarikat konsesi. – Bernama