TAPAH: Sebanyak 713 prospek di penjara negeri ini dibebaskan di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti) dari Januari hingga bulan lepas.

Timbalan Pengarah Penjara Negeri Perak Penolong Kanan Komisioner Penjara Nazri Mohamad berkata PBSL yang dilaksanakan di seluruh negara sejak 2013 itu memberi peluang kepada prospek atau banduan terpilih untuk memanfaatkan pembebasan awal berdasarkan syarat tertentu.

“Sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini, 22 prospek di Penjara Tapah dan seorang di Pusat Koreksional Batu Gajah dibebaskan melalui PBSL dengan empat diserahkan kepada keluarga dan selebihnya diserahkan kepada parol daerah.

“Sebanyak 23 prospek berusia antara 25 hingga 60 tahun dipilih sebagai Orang Bebas Berlesen (OBB) setelah mereka memenuhi syarat ditetapkan, berkelakuan baik serta mengikuti program pemulihan yang disediakan,“ katanya pada sidang media selepas Program PBSL Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti) sempena Aidiladha di Dewan Budiman Penjara Tapah di sini hari ini.

Nazri berkata PBSL diadakan setiap bulan dengan kesemua prospek yang dibebaskan masih tetap dipantau pegawai parol daerah masing-masing bagi memastikan mereka tidak melanggar syarat pelepasan.

“Mereka (prospek) tidak perlu ke pejabat parol, tetapi pihak parol sendiri yang akan datang ke rumah atau tempat mereka bekerja selepas dibebaskan,“ katanya.

Beliau berkata pihak penjara sentiasa bekerjasama dengan syarikat swasta dalam pelbagai sektor untuk memberi ruang kepada banduan bekerja apabila dibebaskan.

“Setiap kali program PBSL dijalankan, terdapat syarikat yang sedia menerima banduan untuk bekerja. Semua prospek yang dibebaskan berjaya menjalani kehidupan normal selepas diterima bekerja, malah ada yang menerima gaji bulanan RM1,700 hingga RM3,500 mengikut kemahiran,“ katanya.