Your Title

KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung Datuk Mohd Nor Hamzah (gambar), dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi penggal ke-15, hari ini.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu itu, mengangkat sumpah taat setia pada Majlis Angkat Sumpah ADUN di hadapan Setiausaha DUN Zulkifly Isa, di Wisma Darul Iman di sini.

Mohd Nor, 51, yang juga Bendahari Badan Perhubungan PAS Terengganu, mula menjadi ADUN pada 2008 dan memegang jawatan EXCO selama satu penggal bermula Mei 2018 sehingga Jun 2023.

Sementara itu, ADUN Seberang Takir Khazan Che Mat pula, dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua DUN pada majlis yang sama.

Dalam pada itu seramai 32 wakil rakyat yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN), secara rasmi mengangkat sumpah sebagai ADUN di hadapan Zulkifly pada majlis sama.

Majlis angkat sumpah diketuai oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, diikuti 10 barisan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Terengganu (EXCO) dan 21 ADUN lain.

Buat kali pertama dalam sejarah, Terengganu tidak mempunyai pembangkang dalam DUN selepas Perikatan Nasional (PN), menyapu bersih kesemua 32 kerusi pada PRN, 12 Ogos lalu. - Bernama