KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun (pix) telah menyangkal dakwaan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) gagal mengeluarkan garis panduan kepada para timbalan pendakwa raya (DPP) dalam mengendalikan kes berkaitan pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga menyebabkan hukuman berat dijatuhkan ke atas tertuduh.
Idrus dalam satu kenyataan media hari ini menegaskan bahawa segala tindakan dan keputusan Peguam Negara serta DPP adalah berdasarkan kuasa serta tanggungjawab yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.
“Para DPP telah diberikan garis panduan, terutama dalam masa yang sukar ini, bagi memastikan pentadbiran undang-undang dilaksanakan dengan teratur. Bagi tujuan ini, para DPP serta PDRM dan Mahkamah sentiasa bekerja keras dalam keadaan yang baru ini di samping mendedahkan diri mereka kepada risiko jangkitan,” katanya.
Idrus menegaskan bahawa sesetengah perkara seperti tempoh reman dan hukuman bukanlah di bawah bidang kuasa AG, oleh itu, ia adalah di luar kawalan AG.
Beliau mengulas satu artikel yang dimuat naik sebuah badan bukan kerajaan iaitu Eliminating Deaths and Abuse in Custody Together (EDICT) pada 9 April di laman sesawang mereka bertajuk “The Attorney General must rein in prosecutors.”
Idrus berkata dalam artikel itu, EDICT mendakwa bahawa tidak seperti institusi lain yang terlibat dalam pentadbiran undang-undang, AGC telah gagal untuk mengemukakan sebarang garis panduan kepada para DPP bagi memastikan keseragaman dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan PKP.
“Dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali. Garis panduan dan arahan sentiasa dikemukakan dari semasa ke semasa oleh Peguam Negara kepada para DPP. Para DPP turut tertakluk kepada sebuah Kod Etika. Penyeliaan kes-kes berkaitan perlanggaran PKP dilakukan setiap hari oleh Ketua Bahagian Pendakwaan dan Timbalan-Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan.
“Para DPP adalah dikehendaki menghantar suatu laporan berkenaan kes-kes tersebut setiap hari kepada Peguam Negara. Sebagai contoh, DPP telah diingatkan baru-baru ini supaya lebih peka terhadap kes-kes yang melibatkan pelaku juvana bagi memastikan mereka tidak direman kecuali dalam kes-kes yang tidak dapat dielakkan dan mereka diberikan semua hak-hak dalam Akta Kanak-Kanak di hadapan Mahkamah untuk Kanak-Kanak,” katanya.
Beliau berkata EDICT dilihat telah membuat satu tanggapan yang salah hanya kerana ia tidak melihat sebarang arahan atau garis panduan yang dikeluarkan oleh Peguam Negara, maka ia menganggap bahawa arahan atau garis panduan tersebut tidak wujud.
Katanya, dakwaan itu adalah sama sekali tidak benar
Idrus berkata AGC, sebagai sebuah institusi awam, mengalu-alukan kritikan terhadap tindakannya tetapi tertakluk kepada kritikan membina dan berdasarkan fakta yang kukuh, dan bukan bersandarkan kepada andaian dan celaan yang tidak disokong oleh fakta. — Bernama