• 2025-07-23 04:49 PM

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan oleh Ilham Tower Sdn Bhd terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyitaan Menara Ilham.

Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan memaklumkan perkara itu semasa prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh hari ini. Turut hadir ialah peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar mewakili syarikat berkenaan.

Mahkamah mengarahkan pihak-pihak terlibat memfailkan hujahan sebelum 13 Ogos dan hujahan balasan (jika ada) sebelum 20 Ogos. Perbicaraan permohonan itu ditetapkan pada 18 September.

Ilham Tower memfailkan permohonan secara ex-parte menerusi firma guaman Tetuan Raj & Sach pada 23 Jun lalu. Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, merupakan salah seorang pengarah syarikat itu.

Selain SPRM, syarikat turut menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, Penguasa Kanan SPRM Mohd Razi Rahhim @ Rahim, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib, Pendakwa Raya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Dalam permohonannya, Ilham Tower memohon deklarasi bahawa notis penyitaan dikeluarkan Ahmad Akram pada 4 Jun 2025 mengikut Seksyen 51(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram adalah terbatal dan tidak sah.

Syarikat itu juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan notis penyitaan serta perintah mandamus mengarahkan pembatalan notis tersebut. Selain itu, mereka memohon penangguhan notis penyitaan sehingga pelupusan permohonan semakan kehakiman, termasuk tuntutan ganti rugi dan kos. - Bernama