KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menggugurkan tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul ketika kes berkenaan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy hari ini.
“Yang Arif, saya hadir untuk memaklumkan kepada mahkamah bahawa representasi telah ditolak dan pihak pendakwaan akan meneruskan perbicaraan. Saya diarahkan untuk memaklumkan perkara ini kepada mahkamah serta mohon tarikh perbicaraan ditetapkan,” katanya.
Pada masa sama, pihak pendakwaan turut memohon tempoh yang lebih lama bagi mendapatkan dokumen berkaitan dan menyediakan penyataan saksi.
Pada 3 Feb 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Terdahulu, Mohd Ashrof memaklumkan kepada mahkamah bahawa kes melibatkan dana RM42 juta milik SRC yang sebelum ini dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan), melibatkan sebanyak 807 bahan bukti.
Beliau berkata kesemua bahan bukti itu diperlukan untuk digunakan dalam perbicaraan yang sedang berjalan ketika ini.
“Sehubungan itu, Yang Arif, pihak pendakwaan akan secara rasmi memohon kepada pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi untuk mengembalikan bahan bukti tersebut kepada pihak pendakwaan bagi tujuan perbicaraan ini. Saya dimaklumkan bahawa proses ini akan mengambil sedikit masa, dan oleh itu, kami dengan penuh hormat memohon agar tarikh perbicaraan dilanjutkan,” katanya.
Sementara itu, peguam utama kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mencadangkan agar mahkamah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) anak guamnya, bagi mengelakkan kesesakan dalam senarai kes mahkamah serta memberi ruang kepada pihak pendakwaan membuat persiapan tanpa menjejaskan hak anak guamnya.
“Yang Arif, pertuduhan ini difailkan pada 2019, manakala representasi telah dikemukakan pada 31 Julai 2023. Pihak pembelaan berpendapat bahawa representasi tersebut mempunyai merit, berdasarkan keputusan muktamad perbicaraan pertama kes SRC serta rayuan-rayuan yang menyusul selepas itu,” katanya.
-- LAGI