KUALA LUMPUR: Agensi penguatkuasaan di negara ini merafak sembah menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menitahkan semua agensi penguat kuasa menjalankan tugas dengan penuh integriti agar rakyat terus yakin dan menghormati pasukan beruniform itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata titah Seri Paduka Baginda itu adalah peringatan yang sangat bertepatan dengan prinsip Polis Diraja Malaysia (PDRM), iaitu ‘Tegas, Adil dan Berhemah’, dalam melaksanakan tugas demi menegakkan undang-undang dan mengekalkan keamanan negara.

“PDRM amat menitikberatkan nilai integriti sebagai tunjang utama dalam setiap tindakan warga pasukan. Integriti adalah amanah dan tanggungjawab yang dipikul oleh setiap anggota PDRM, sejajar dengan ajaran Islam yang menuntut kejujuran, keikhlasan dan keadilan dalam setiap urusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata PDRM akan terus berusaha mempertingkat integriti, memperkukuh tadbir urus yang baik dalam pasukan itu serta memerangi sebarang bentuk salah laku demi memastikan imej agensi keselamatan berkenaan sentiasa dihormati rakyat.

“PDRM berdiri teguh di belakang titah Seri Paduka Baginda dan menegaskan bahawa setiap anggota PDRM akan terus menghayati nilai-nilai murni dalam menjalankan tugas untuk agama, bangsa dan negara,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki pula berkata titah Seri Paduka Baginda mesti dijunjung dan semua agensi penguat kuasa di negara ini perlu menjaga integriti dalam melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat.

“Rakyat adalah mereka yang kita beri khidmat dan mereka selayaknya menerima perkhidmatan yang baik, cekap, beramanah termasuklah mesra rakyat dan tidak ada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Titah Tuanku adalah tepat pada masanya dalam kita sedang membina semula ekonomi negara kita ke arah negara yang berpendapatan tinggi. Negara yang rasuah akan rosak dan hancur,” katanya kepada Bernama.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad berkata titah Sultan Ibrahim pastinya dijunjung serta perlu digalas dengan penuh integriti dan amanah kerana jika ada yang berkelakuan tidak sewajarnya, tempiasnya terkena pada semua anggota.

“JBPM junjung kasih atas ingatan yang dititah. Pemakaian uniform seperti bomba adalah cerminan yang jelas kepada (kami) semua, siapa kami (JBPM) dan tugas yang kami lakukan,” katanya.

Terdahulu, Sultan Ibrahim dalam Titah Diraja pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini menyeru supaya semua agensi penguat kuasa menjalankan tugas dengan penuh integriti dan berani agar rakyat tidak hilang kepercayaan dan terus menghormati uniform yang dipakai.