KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyaksikan perlawanan Hoki Piala Dunia Remaja (JWC) 2023 antara Malaysia dan Chile di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal mengiringi Seri Paduka menyaksikan perlawanan malam ini.

Ketibaan Al-Sultan Abdullah disambut dengan persembahan pancaragam bagpipe dan tarian tradisional pelbagai etnik di Malaysia.

Sejurus itu nyanyian lagu Negaraku dan lagu Kebangsaan Chile dimainkan sebelum perlawanan bermula pada 8.30 malam.

Al-Sultan Abdullah merupakan Penaung Diraja Persekutuan Hoki Asia sejak 2019 dan bekas Presiden KHM.

JWC merupakan kejohanan dwitahunan bagi pemain hoki berusia 21 tahun ke bawah dan pada edisi kali ini, 16 pasukan mengambil bahagian.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A akan berdepan Chile, diikuti aksi menentang juara bertahan Argentina esok dan melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan menentang juara 1997 Australia pada Jumaat (8 Dis).

Pencapaian terbaik Malaysia pada JWC adalah meraih tempat keempat pada edisi sulung 1979, serta 1982 dan 2013, manakala pada edisi lepas, skuad negara tersingkir pada suku akhir selepas tewas 0-4 kepada Perancis.–Bernamapix

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image