Your Title

SHAH ALAM: Polis mengesahkan penjenayah dikenali sebagai “Ah Boy” yang ditembak mati di Pulau Ketam, dekat sini dua hari lepas, bergerak sendirian dalam melakukan jenayah.

Sehubungan dengan itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata masyarakat tidak perlu bimbang mengenai kemungkinan berlakunya tindak balas oleh ahli kumpulan atau rakan sepenjenayah berikutan kematian suspek yang memiliki 15 rekod jenayah itu.

“Suspek mengamalkan gaya hidup seperti melakukan samun, rompakan dan curi untuk keperluan sendiri dan akan mengulangi perbuatan terbabit apabila duit sudah habis.

“Kelakuan atau tabiat suspek ialah melakukan (jenayah) seorang diri. Jadi, tidak ada rakan sepenjenayah atau ahli kumpulan yang perlu kita risaukan yang akan ambil tindakan susulan atas kejadian itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada pagi Selasa lepas, suspek berumur lingkungan 30-an itu mati dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di sebuah bilik hotel di Pulau Ketam, Klang, selepas 10 hari diburu susulan insiden melepaskan tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam pada malam 8 Feb lepas.

Mengulas lanjut, Hussein berkata suspek yang terlibat dalam pengedaran dan penggunaan dadah itu juga telah dua kali menjalani hukuman penjara dengan kali terakhir keluar penjara pada 2019.

Beliau berkata kesan pengambilan dadah juga mengakibatkan suspek sedia dan berani melepaskan tembakan pada bila-bila masa dengan modus operandi ialah mengambil dadah jenis syabu setiap kali sebelum melakukan jenayah.

Berhubung senjata dimiliki suspek, Hussein berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber pistol jenis SIG Sauer dan Retay itu diperoleh.

“Kita masih siasat bagaimana senjata diperoleh, tetapi percaya dua pistol berkenan dibeli di dalam negara,” katanya.

Hussein berkata bedah siasat terhadap mayat suspek telah selesai dilakukan petang semalam dan kematian disahkan berpunca akibat kesan tembakan.

Terdahulu, Hussein menyaksikan majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Selangor yang baharu SAC Mohd Zaini Abu Hassan menggantikan Datuk Sasikala Devi Subramaniam yang bersara wajib, bermula pada esok.