KUALA LUMPUR: Negara anggota ASEAN bersetuju mempercepat proses dokumentasi keahlian penuh Timor-Leste sebelum Sidang Kemuncak ke-47 pada Oktober ini. Persetujuan dicapai dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 bagi memastikan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 blok serantau itu dimuktamadkan.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah ini menandakan komitmen ASEAN terhadap keterbukaan dan kesatuan sebagai blok inklusif. “Kita memastikan dokumentasi untuk Timor-Leste diselesaikan segera supaya dapat dilakukan (pengesahan) pada sesi Kemuncak ASEAN Oktober nanti,“ katanya selepas sesi pleno di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Pada Mei lalu, pemimpin ASEAN bersetuju menerima Timor-Leste sebagai ahli penuh tertakluk kepada pematuhan pelan hala tuju. Mohamad menekankan pentingnya ASEAN kekal sebagai entiti terbuka yang menggalakkan kerjasama strategik dan perdagangan dengan rakan luar.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan berlangsung dari 8 hingga 11 Julai dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, melibatkan 24 mesyuarat peringkat menteri bersama Rakan Dialog ASEAN dan sektoral. Acara ini dihadiri kira-kira 1,500 perwakilan termasuk menteri luar ASEAN, Timor-Leste, dan pegawai kanan Sekretariat ASEAN. - BERNAMA