• 2025-09-10 09:39 PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa peralihan politik baru-baru ini di Thailand dan Indonesia tidak akan menjejaskan kestabilan serantau atau keyakinan pelabur.

Beliau menyifatkan ASEAN secara relatifnya sebagai rantau yang paling aman meskipun berlaku perubahan kepimpinan di dua negara anggota tersebut.

“Setakat yang kita tahu, keadaan di Thailand agak stabil dengan Perdana Menteri baharu mereka Anutin Charnvirakul, dan kita ucapkan selamat maju jaya kepada mereka,“ katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan (ICOSH).

Anwar turut mendedahkan bahawa beliau telah bercakap melalui telefon dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto yang menyatakan keadaan hampir kembali normal di negara tersebut.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia selaku Pengerusi ASEAN berharap pelabur akan terus menaruh keyakinan terhadap rantau ini.

Mengenai peranan bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra sebagai penasihat tidak rasmi bagi hal ehwal ASEAN, Anwar berkata perkara itu akan dibincangkan lanjut bersama Perdana Menteri baharu Thailand.

“Tiada keperluan ambil apa-apa keputusan segera sehingga beliau datang dalam tempoh singkat untuk bincang kerjasama dengan Thailand dan ASEAN,“ jelasnya.

Anwar menekankan bahawa peranan Thaksin adalah terbatas kerana beliau tidak bebas untuk memberikan pandangan dan kerjasama secara menyeluruh.

Kenyataan Anwar itu dibuat ketika pasaran sedang memerhati dengan rapat proses peralihan kepimpinan di kedua-dua negara ASEAN tersebut.

Universiti Kebangsaan Malaysia melalui Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan ke-9 yang dirasmikan Perdana Menteri.

Persidangan akademik itu membawa tema “Hubungan Kemanusiaan dalam Era Kecerdasan Buatan dan Teknologi” dengan tumpuan kepada pelbagai bidang termasuk kerja sosial, psikologi, linguistik, dan kesusasteraan.

Turut hadir ialah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman, serta Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Prof Dr Kadaruddin Aiyub. – Bernama