KUALA LUMPUR: ASEAN perlu memimpin pembaharuan dalam sektor hartanah bagi menangani cabaran ketidaktentuan geoekonomi, perubahan struktur dan urbanisasi pesat, menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Dalam ucaptamanya di Persidangan Hartanah ASEAN (AREC) 2025, Nga menyatakan bahawa rantau ini berdepan dengan gangguan rantaian bekalan, turun naik mata wang dan peningkatan permintaan perumahan bandar.
“Kita kini berada dalam era di mana hartanah bukan sekadar tentang bangunan, tetapi membina masa depan di mana setiap rakyat, dari Kuala Lumpur hingga luar bandar Kemboja, bukan hanya mencari tempat tinggal tetapi juga penghormatan dan peluang,“ katanya.
Data UN ESCAP menunjukkan penduduk bandar ASEAN dijangka meningkat 90 juta menjelang 2030, memerlukan pembinaan 10 hingga 12 juta unit rumah baharu setiap tahun. Namun, ketidaktentuan global menyebabkan penurunan jualan hartanah, seperti harga kondominium mewah di Ho Chi Minh City yang jatuh lapan peratus akibat lebihan bekalan.
Nga turut menyentuh cabaran dalam sektor pembinaan, termasuk turun naik harga bahan seperti keluli yang berubah sehingga 30 peratus, serta nilai ringgit yang merosot kepada RM4.80 berbanding dolar AS pada April 2024 sebelum pulih kepada RM4.20.
Beliau mengenal pasti tiga perubahan besar yang mempengaruhi sektor hartanah ASEAN: keperluan kemampanan, paradoks urbanisasi dan penetapan harga semula modal global. “Ciri hijau kini bukan lagi pilihan, tetapi keperluan minimum,“ tegasnya, sambil menambah bahan binaan mampan kini menyumbang 15 peratus kos pembinaan.
Untuk memastikan kelangsungan sektor ini, Nga mencadangkan model perumahan ASEAN yang fleksibel berdasarkan tiga prinsip: perancangan berasaskan data, perkongsian awam-swasta-rakyat, dan penyelesaian konteks sensitif.
Beliau juga memuji program Sewa-untuk-Memiliki (RTO) Malaysia sebagai contoh kejayaan dalam meningkatkan pemilikan rumah, dengan sasaran kadar pemilikan nasional 80 peratus menjelang 2030.
Nga mencadangkan penubuhan Makmal Dasar Perumahan Serantau dan Papan Pemuka Kemajuan Agenda Bandar ASEAN bagi memantau sasaran perumahan mampu milik dan pengurangan karbon.
Sebagai pengerusi Perhimpunan PBB-Habitat, beliau menekankan keperluan penyelarasan strategi ASEAN dengan Agenda Bandar Baharu bagi memastikan pembangunan perumahan yang inklusif dan mampan.
“Perumahan bukan tentang bata dan mortar, tetapi tentang maruah, kestabilan dan masa depan bersama tanpa meninggalkan mana-mana warga ASEAN,“ katanya. - Bernama