KUALA LUMPUR: Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$119.59 bilion (US$1 = RM4.21) pada akhir Mei 2025, menurut Bank Negara Malaysia (BNM). Selain itu, aset mata wang asing lain dilaporkan bernilai US$955.2 juta.
Bank pusat itu menjelaskan bahawa butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberikan gambaran jelas mengenai saiz, komposisi, dan kebolehgunaan rizab.
“Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir Mei 2025 tetap boleh guna,“ kata BNM dalam kenyataan hari ini.
BNM turut memaklumkan bahawa bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti, dan deposit mata wang asing berjumlah US$13.43 bilion. Ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank BNM dalam mata wang asing.
Kedudukan jualan hadapan bersih pula dicatatkan sebanyak US$24.18 bilion, yang mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.
Sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek. BNM memaklumkan unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah US$2.63 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang.
Satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontingensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan terhadap hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$419.0 juta.
“Aliran ini tidak mengandungi sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, serta tidak mempunyai kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain,“ jelas BNM.