KUANTAN: Bau busuk di Sungai Teritip, Pekan dipercayai berpunca daripada bahan buangan berminyak dan berbau yang dibuang terus ke dalam sungai itu di tepi jalan utama Pekan-Rompin.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pekan dalam kenyataan memaklumkan dapatan itu diperoleh hasil siasatan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) susulan aduan bau busuk di sungai itu yang diterima daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pekan.
“Pasukan Hazmat menjalankan pemantauan udara dan gas bagi menentukan tahap keselamatan udara di sekitar kawasan berkenaan dan mendapati bacaan udara berada pada paras normal.
“Kerja-kerja pembendungan alur air telah siap dilaksanakan oleh JPS Pekan dengan mengambil kira penilaian arah aliran air Sungai Teritip dan kini di peringkat tindakan kerja-kerja pembersihan kawasan terjejas,“ menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan sampel bahan buangan terbabit turut dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk dianalisis.
Menurut kenyataan itu pengguna kenderaan yang melalui Jalan Nenasi terutamanya di kawasan Sungai Teritip pada 30 Ogos lepas sekitar 6 petang hingga 8 malam dan mempunyai kamera papan pemuka, diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi JAS di talian 09-5730636 atau 019-9151953.
“Siasatan bagi mengesan penjenayah alam sekitar ini sedang giat dijalankan dan penduduk berhampiran dinasihatkan memakai pelitup muka serta tidak menangkap ikan di alur air kawasan tersebut.
“Sekiranya penduduk mengalami gejala gatal-gatal kulit, mata berair, sesak nafas dan loya serta pening dinasihatkan untuk hadir atau menghubungi Klinik Kesihatan Nenasi,“ menurut kenyataan itu.