GUA MUSANG: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM33 juta bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Gua Musang sejak 2023, yang membabitkan penyaluran bantuan kepada 2,390 penerima di kawasan parlimen sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata bantuan disampaikan kepada penerima yang menepati syarat ditetapkan, menerusi lima skim iaitu Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (OKU), Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja, Bantuan Penjagaan OKU atau Pesakit Kronik Terlantar, Bantuan Kanak-Kanak dan Bantuan Warga Emas.

Beliau berkata sehingga kini lebih RM10.7 juta telah disalurkan kepada penerima layak di seluruh Parlimen Gua Musang tahun ini, manakala lebih RM11.4 juta pada 2023 dan RM11.8 juta tahun lepas.

“Saya harap penerima dapat menggunakan bantuan-bantuan ini dengan sebaiknya,” katanya kepada pemberita di Bandar Lama, di sini, hari ini.

Mohd Syahbuddin berkata bantuan berkenaan membuktikan keprihatinan Kerajaan Persekutuan dalam meringankan beban rakyat, khususnya golongan asnaf dan OKU.