MELAKA: Bazar Deepavali sempena sambutan perayaan pesta cahaya di Melaka telah mula beroperasi di Little India Melaka, Jalan Bendahara selama dua minggu bermula 7 Oktober lepas.
Pengerusi MIC Melaka Datuk VP Shanmugam menyatakan bazar tersebut menempatkan 40 gerai jualan pakaian, pelbagai jenis makanan serta manisan tradisional masyarakat India.
Beliau berkata Bazar Deepavali adalah acara tahunan yang dinanti-nantikan bukan sahaja oleh masyarakat India malah kaum lain kerana pelbagai jenis makanan dijual.
“Selain bazar, Pesta Deepavali membabitkan persembahan kesenian dan kebudayaan masyarakat India juga akan berlangsung selama lima hari bermula 14 Oktober ini,” katanya.
Shanmugam yang juga Exco Belia, Sukan dan NGO negeri memberitahu kemuncak Pesta Deepavali turut menampilkan persembahan artis tempatan seperti Zubir Khan pada 17 Oktober.
Acara kemuncak tersebut dijangka akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Sempena Deepavali, sebanyak 84 murid dari sekolah Tamil sekitar Melaka terdiri daripada anak yatim dan anak keluarga B40 dibawa membeli pakaian baharu.
Bantuan berkenaan merupakan program tahunan untuk mengurangkan beban keluarga terlibat dalam membuat persiapan Deepavali.
Program tersebut juga bertujuan memberi sinar kegembiraan kepada anak-anak terbabit.
Ahli Dewan Undangan Negeri Gadek itu turut memaklumkan Jualan Rahmah MADANI sempena Deepavali akan dianjurkan di Japerun Gadek dan Jalan Rezab Kampung Ganun pada 11 Oktober bermula 8 pagi.
Pelbagai barangan akan dijual pada harga lebih murah termasuk ayam segar dengan harga RM8 seekor. – Bernama