GEORGE TOWN: Bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Prof Emeritus Dzulkifli Abdul Razak mengalami kecederaan di kepala selepas disamun berhampiran kediamannya di Taman Pekaka di sini awal pagi tadi.
Menurut perkongsian laman Facebook Universiti Utara Malaysia (UUM), kejadian itu berlaku ketika Dzulkifli dalam perjalanan pulang daripada menunaikan solat Subuh.
Hantaran itu memaklumkan bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu menerima 15 jahitan selepas dihentak dengan senjata yang dipercayai pistol.
Sementara itu kenyataan ahli keluarga yang dikongsi UUM di ruangan komen memberitahu Dzulkifli dalam keadaan selamat dan sihat.
Ahli keluarga memaklumkan akan berkongsi maklumat lanjut selepas siasatan polis selesai bagi mengelakkan sebarang spekulasi.
Mereka juga menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan, kefahaman dan kesabaran semua pihak.
UUM dalam hantaran tersebut turut menyatakan simpati atas kejadian yang menimpa tokoh akademik itu dan mendoakan kesembuhan beliau.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian berkenaan.
Beliau berkata setakat ini polis telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan dan suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah reman.
Azizee menyatakan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada 7.01 pagi.
Beliau menjelaskan insiden tersebut berlaku kira-kira 6.45 pagi dengan mangsa berusia 75 tahun mengalami kecederaan di kepala.
Katanya polis telah menahan seorang lelaki di sini bagi membantu siasatan kes tersebut.
Siasatan lanjut juga sedang berjalan untuk mengenal pasti motif kejadian itu termasuk mengenal pasti senjata yang digunakan suspek. – Bernama