KUALA LUMPUR: Bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram pada Jumaat lepas.

Muhammed Yusoff Rawther, 31, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret S. Arunjothy.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Muhammed Yusoff didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram di kawasan tempat letak kereta di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 10.15 pagi, 6 Sept lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan juga disebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, ahli keluarga Muhammed Yusoff turut hadir ke mahkamah.

Terdahulu, Muhammed Yusoff dengan tangan bergari tiba di mahkamah kira-kira 9 pagi diiringi beberapa anggota polis yang mengawal ketatnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman manakala peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Muhammed Yusoff.

Mahkamah menetapkan 12 Nov untuk sebutan kes bagi laporan kimia.

Sementara itu, Muhammad Rafique Rashid ketika ditemui media berkata pihaknya akan memfailkan permohonan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh terdekat.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dalam kenyataaan berkata lelaki terbabit ditahan di Jalan Bukit Kiara di sini dan direman selama enam hari bermula Sabtu lepas.