• 2025-06-30 02:52 PM

KUANTAN: Seorang bekas pembantu tadbir Felda dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pecah amanah wang khairat kematian bernilai RM41,652.42.

Nurul Syafiha Awang Za, 36, didapati menyalahgunakan wang yang diamanahkan untuk pembayaran khairat kematian kepada tujuh waris peneroka Felda Sungai Panching Timur antara Februari 2018 hingga 2019.

Hakim Sazlina Safie memutuskan hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan dan enam bulan penjara tambahan jika gagal membayar denda.

Peguam bela tertuduh, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar, memohon hukuman minimum dengan alasan kliennya sudah tidak bekerja dan mempunyai anak yang masih bersekolah.

Pendakwaan SPRM Pahang, Kamariah Seman, menyerahkan keputusan kepada budi bicara mahkamah.