• 2025-06-26 03:59 PM

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur, Datuk Ir Norman Md Rabani, 51, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas lima pertuduhan menerima wang rasuah berjumlah RM70,000.

Kesalahan itu dikaitkan dengan projek penyenggaraan bangunan.

Menurut pertuduhan, Norman didakwa menerima wang tunai tanpa balasan daripada seorang lelaki yang mempunyai kepentingan dalam empat syarikat penyenggaraan.

Kesalahan ini dilakukan di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur antara 10 Ogos 2024 hingga 23 Januari 2025.

Pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin serta tiga syarat tambahan.

Peguam Norman, Abdul Hakeem Aiman, memohon jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga termasuk empat anak yang masih belajar dan ibu bapa yang memerlukan perbelanjaan perubatan.

Hakim Suzana Hussin menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti yang diminta pendakwaan. Kes ini akan disebut semula pada 20 Ogos ini.