IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak telah menggerakkan sebahagian anggota dan jenteranya bagi membantu operasi banjir di Kelantan malam tadi.

Pengarahnya Azmi Osman berkata beliau mengetuai pasukan yang terdiri daripada enam anggota bersama tiga buah bot dan tiga lori bersaiz lima tan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, Ipoh dan Kuala Kangsar yang dikerahkan di negeri Pantai Timur itu dan mereka tiba di lokasi pada pukul 10 malam.

“Fokus operasi ketika ini adalah di sekitar Rantau Panjang bersama anggota di Kelantan, kerana mereka lebih memahami dan mengetahui lokasi dan keadaan setempat,“ katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Semalam Pengarah JBPM Kelantan Zainal Madasin dilaporkan berkata pihaknya meminta bantuan daripada bomba negeri lain bagi membantu mangsa yang terjejas banjir di negeri itu untuk berpindah.

Katanya bantuan daripada bomba negeri lain termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan negeri yang tidak dilanda banjir diperlukan memandangkan jumlah mangsa di Kelantan meningkat dengan mendadak. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image