• 2025-09-02 05:15 PM

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa beliau tidak menerima wang rasuah RM2.8 juta secara langsung atau tidak langsung daripada dua ejen pelaburan Public Mutual Berhad.

Bung Moktar menegaskan tiada saksi pendakwaan menunjukkan rakaman video, gambar atau perbualan direkodkan berhubung penerimaan wang oleh beliau.

“Tiada sebarang bukti menunjukkan pembayaran daripada dua ejen pelaburan yang merupakan saksi pendakwaan ke-24 dan saksi pendakwaan ke-25 kepada saya,“ katanya semasa membacakan pernyataan saksi pada prosiding perbicaraan membela diri.

Beliau juga menafikan pernah mendorong Menteri Kewangan II ketika itu untuk mendapatkan kelulusan pelaburan RM150 juta Felcra Berhad dalam produk unit amanah Public Mutual.

Menurut Bung Moktar, Ahli Lembaga Pengarah Felcra telah mengikut prosedur sedia ada dalam membuat permohonan kepada menteri terbabit.

Beliau menjelaskan kelulusan permohonan Felcra oleh Menteri Kewangan II tidak bergantung sepenuhnya pada cadangan ALP tetapi melibatkan banyak faktor serta prosedur.

“Beberapa prosedur, due diligence, kajian oleh Menteri Kewangan dan pertimbangan secara maksimum telah dijalankan sebelum skim pelaburan itu diluluskan,“ katanya.

Bung Moktar menekankan bahawa keputusan muktamad oleh Menteri Kewangan II jarang sekali bergantung pada satu cadangan sahaja.

Beliau turut menafikan pernah berkomunikasi dengan Menteri Kewangan II mengenai permohonan pelaburan terbabit.

Dalam pada itu, Bung Moktar berkata beliau tidak pernah mengarahkan atau meminta isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad untuk menerima wang RM2.8 juta daripada Norhaili dan Madhi.

“Saya tidak pada bila-bila masa dimaklumkan oleh isteri saya mengenai penerimaan wang itu,“ katanya.

Beliau menyatakan hanya mengetahui mengenai perkara itu apabila dipanggil untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 2016 atau 2017.

Ditanya sama ada beliau mempercepat kelulusan Kementerian Kewangan, Bung Moktar menjawab, “Tidak pernah Yang Arif kerana saya tidak mampu buat perkara itu”.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019 dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500.

Beliau dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad bagi mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah.

Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama di tempat, tarikh dan masa serupa.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok. – Bernama